Tuesday, March 8, 2011

Kisah Hassan Al-Banna siri-3


BELAJAR DI KAHERAH DAN KESEDARAN REFORMASI Pada 1923, pada usia 16, al-Banna telah memasuki Fakulti Darul ‘Ulum, Azhar yang masyhur di Kaherah. Di Azhar, bila teman-temannya memakai pakaian Mesir (topi khas yg bernama tharbus), al-Banna memakai serban Arab, karena ingin mencontohi Rasululloh SAW.

Selama 4 tahun di Kaherah, beliau telah terdedah kepada hiruk pikuk politik di Kaherah pada awal 1920an, dan meningkatkan kesedaran beliau tentang kesan fahaman sekular dan Barat yang telah menembusi masyarakat Islam, hingga ke akar umbi. Inilah yang menyebabkan al-Banna begitu tersentuh dengan keadaan pemuda-pemudi Islam yang hanyut dari ajaran Islam. Al-Banna meyakini perang untuk memenangi hati dan pemikiran pemuda-pemudi adalah begitu penting untuk menyelamatkan Islam daripada serangan hebat Barat.

Semasa belajar di Kaherah, al-Banna menyelami hasil penulisan reformis Islam yang awal, termasuklah Muhammad ‘Abduh (1849-1905), yang merupakan guru ayahnya semasa di Azhar. Tetapi yang paling banyak mempengaruhi pemikiran al-Banna merupakan murid ‘Abduh, iaitu Rashid Rida (1965-1935). Al-Banna merupakan pembaca tetap al-Manar, majalah yang diterbitkan oleh Rida di Kaherah dari 1898 hinggalah kematiannya pada 1935. Al-Banna berkongsi pendapat dengan Rida mengenai merosotnya tamadun Islam berbanding dengan Barat. Al-Banna juga percaya bahawa fenomena ini hanya boleh diterbalikkan dengan hanya kembali kepada ajaran Islam yang sejati, bebas daripada segala kekotoran yang melemahkan kekuatan mesej Islam yang sebenar.

MENGAJAR DI ISMA'ILIYYAH Selepas tamat belajar di Darul ‘Ulum pada 1927, berusia 21, al-Banna telah menjadi guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Isma’iliyyah. Pada masa itu, Isma’iliyyah merupakan pusat pemerintahan Canal Zone dan menjadi ibu pejabat Suez Canal Company (SCC). Ia menempatkan kem tentera dan kediaman bagi pekerja Barat yang mana menjadikan pekerja dan penduduk Mesir di situ sebagai kelas kedua, iaitu menjadi buruh kasar di perusahaan-perusahaan Eropah itu. Kehidupan agama Islam yang dianut penduduk Ismailia pun terumbang-ambing dalam pertentangan khilafiah antara pelbagai kelompok tasawuf.

Tugas al-Banna yang pertama ialah meningkat kesedaran dan penyatuan aqidah di kalangan masyarakat Ismai’iliyyah. Al-Banna melihat kehadiran kuffar ke Isma’iliyyah sebagai pendudukan tentera, pengeksploitasian ekonomi, pencemaran budaya dan kehilangan maruah. Ini meningkatkan semangatnya untuk mengusir British daripada Mesir, dan umumnya, pengaruh Barat.

Daripada saat al-Banna tiba di Isma’iliyyah, beliau telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti masyarakat. Al-Banna berusaha untuk merapatkan diri dengan orang-orang penting di bandar tersebut sambil bergaul mesra dengan seberapa banyak masyarakat umum yang boleh. Al-Banna mengadakan kelas malam untuk ibubapa pelajar dan mengadakan perbincangan yang tidak formal di masjid, kedai kopi, kelab dan rumah persendirian. Mesej asasnya ialah Mesir telah kehilangan rohnya, ia telah menjadi orang bawahan dari segi politiknya dan ekonomi yang terlalu bergantung pada orang lain, akibat daripada melencong dari jalan yang ditentukan oleh Tuhan. Ubat bagi merosotnya kekuatan negara dan masyarakat hanyalah dengan penekanan kepada Islam sebagai cara hidup.

Salah satu kelainan yang dilakukan oleh al-Banna ialah beliau memulai dakwahnya bukan di masjid kerana takut disalahertikan oleh masyarakat Isma’iliyyah sebagai gerakan tasawuf baru, tetapi di kedai kopi! Mengapa ia memilih kedai kopi? Alasan al-Banna kepada ikhwannya yang kurang setuju dengan cara yang ditempuhnya itu adalah : di kedai kopi, orang-orang sedang rileks dari kesibukan hariannya, mereka fresh untuk mendengar nasihat orang lain, sehingga sangat sesuai kalau berdakwah kepada mereka di saat yang sangat tepat itu. Pada permulaannya, sudah pasti pemilik kafe merasa terganggu, para pengunjung kedai kopi pun merasa hairan. Tetapi oleh kerana al-Banna menyampaikan dakwahnya tidak pernah melebihi 15 menit, pada hari-hari berikutnya para pemilik kafe meminta al-Banna supaya datang lagi, memberikan siraman rohani kepada para pengunjung kedai. Dalam 1 hari, tak kurang dari 10 kedai dikunjungi al-Banna secara bergilir-gilir, padahal jarak antara kedai adalah berjauhan.

bersambung..

0 comments: